Artikel Terapi di Utusan Malaysia


13 guru pendidikan khas tamat latihan


Abdul Rahman Palil bermesra dengan Siti Norshafiqah Md. Salleh, dan dua kanak kanak kurang upaya di Kapar, Klang, baru-baru ini.
ARKIB : 17/12/2008

KLANG 16 Dis. - Sebanyak 13 guru pendidikan khas Pusat Dalam Komuniti (PDK) Klang Utara yang mengikuti latihan Terapi Cara Kerja Untuk Kanak-Kanak Istimewa menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis di Galeri Sementa, Kapar di sini kelmarin.

Kursus dua minggu sekali sejak Ogos lalu itu dianjurkan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PDK Klang Utara.

Ketua Jurupulih Cara Kerja (Terapi) PPUM, Soh Say Beng berkata, kesemua 13 guru tersebut datang dari beberapa sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah.

Beliau berkata, sepanjang kursus, seramai 30 jurupulih cara kerja dan lapan pembantu telah membantu guru-guru terlibat menjalani latihan mengendalikan kanak-kanak istimewa dengan lebih sempurna.

"Sebanyak lima modul telah diajar dalam kursus tersebut termasuk bagaimana melatih kehidupan harian kanak-kanak istimewa, modifikasi tingkah laku, beri rangsangan kognitif, integrasi sensori dan latihan moto halus serta moto kasar.

"Dengan tamatnya kursus ini, kita berharap kesemua guru ini akan dapat membantu kanak-kanak istimewa di bawah jagaan mereka dengan lebih baik," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Majlis tamat kursus ini dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementara, Datuk Abdul Rahman Palil.

Acara yang bermula pukul 9 pagi itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan bacaan puisi daripada 55 kanak-kanak istimewa daripada PDK Klang Utara.

Menurut beliau, pihaknya amat berterima kasih kepada PDK Klang Utara yang begitu bersungguh-sungguh menganjurkan kursus itu demi membantu kanak-kanak istimewa ini dan mengalu-alukan pihak lain yang ingin membuat rujukan mengenai kanak-kanak istimewa ini agar datang ke PPUM.

"Apa yang kami lakukan ini merupakan khidmat sosial PPUM kepada masyarakat," tambah beliau.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau akan sentiasa menyokong sebarang aktiviti yang dijalankan PDK Klang Utara dalam membantu kanak-kanak istimewa ini dan mengharapkan perkara yang sama daripada orang ramai.

Beliau juga mengalu-alukan PDK Klang Utara untuk mengadakan sebarang aktiviti khidmat sosial di Galeri Sementara dan menggunakan kelengkapan yang ada di situ secara percuma.

"Kanak-kanak istimewa ini tidak boleh diabaikan dan perlu dibantu dan kita sebagai ibu bapa, penjaga dan masyarakat perlulah bersabar melayan kerenah mereka.
"Ingatlah mereka ini adalah anugerah tuhan dan kehadiran mereka itu adalah hikmah daripada Allah," ujar beliau.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment